11 Tips Ringkas Untuk Mengubah Dan Meningkatkan Akhlak Diri
1. Sifat
yang sedia tumbuh di dalam jiwa setiap manusia yang mempunyai perkaitan
rapat dengan akhlak Islam apabila ianya dapat dikawal dengan baik,
ialah sifat marah. Sifat ini tidak mungkin dapat dihapuskan sama sekali.
Jadi perlulah kita berusaha untuk kurangkan sifat marah ini dengan
menekan dan membatasi pengaruhnya di dalam jiwa kita.
Sifat marah ini hendaklah diarah untuk yang hanya diredhai Allah s.w.t.
seperti menafkahkan harta bendanya di jalan Allah, membantu
fakir/miskin, anak yatim dan orang-orang yang berhajat
2. Mempelajari
ilmu pengetahuan tentang akhlak yang baik (akhlak mahmudah) yang
diperintahkan oleh syariat Islam dan tentang akhlak yang dicela dan
dikeji (akhlak mazmumah). Al Quran telah menggariskan akhlak-akhlak
utama yang mesti dipegang dan dihayati dan akhlak-akhlak yang harus
ditinggalkan oleh setiap mukmin. Sunnah Rasulullah s.a.w. pula
memperincikan setiap satunya akhlak-akhlak tersebut dan telah
menterjemahkannya ke dalam realiti kehidupan yang sebenar. Akhirnya,
adalah menjadi tugas kita pula untuk mempraktikkannya ke dalam kehidupan
kita sehari-hari dan seterusnya kepada realiti masyarakat kita
sekarang.
3. Mempunyai
keazaman yang kuat dan bersabar untuk memperolehi akhlak yang kita
inginkan. Akhlak itu akan bertambah kuat, teguh dan kukuh di dalam jiwa
kita selama mana iman kita masih kuat kerana akhlak mahmudah dan iman
yang teguh adalah 2 perkara yang tidak boleh dipisahkan dan sentiasa
bergerak seiring jalan. Iman yang kuat dan teguh itulah yang melahirkan
akhlak yang baik (akhlak mahmudah) dan tercegah dari kejahatan dan
akhlak yang buruk (akhlak mazmumah). Mencintai dan menegakkan kebenaran
adalah suatu akhlak yang kuat selama jiwanya masih dikuasai oleh
keimanan.
4. Melakukan
perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan kehendak syaitan yakni,
akhlak mazmumah (akhlak-akhlak yang buruk) diganti dengan akhlak
mahmudah (akhlak-akhlak yang baik) yang bertentangan dengannya.
Akhlak-akhlak mamudah ini pula dicapai dengan melatih diri, bersabar dan
mengadakan latihan terus menerus dan berulang-ulang kali sehingga
akhirnya akan memberikan kesan di dalam jiwa. Sehingga jiwa menjadi
cenderung untuk berakhlak baik dan akhirnya menjadi kebiasaan dan mudah
diamal. Maka langkah-langkah berikut hendaklah diteliti:
i. Memeriksa diri dan mengenalpasti apakah akhlak –akhlak mazmumah yang terdapat di dalam diri.
ii. Setelah itu hendaklah dipastikan pula mana diantaranya yang paling terkeji menurut keterangan-keterangan daripada syara’.
iii. Setelah
itu maka hendaklah ia memastikan apakah akhlak yang paling berkesan
dijadikan sebagai ganti akhlak terkeji tersebut menurut
keterangan-keterangan syara’ juga.
iv. Selepas itu hendaklah ia memperbaiki dirinya menurut urutan keutamaan akhlak yang telah dikenalpasti olehnya.
v. Memperbanyakkan amalan-amalan sunnat bagi melunakkan jiwanya bagi bertaqarrub kepada Allah.
Dengan cara ini ia dapat melaksanakan proses pembaikan akhlak menurut keutamaan yang paling baik.
5. Bergaul
dengan orang-orang yang berakhlak baik dan ahli-ahli ibadah merupakan
di antara cara yang berkesan untuk memperbaiki akhlak kita. Ini adalah
kerana kita manusia cepat meniru dan terpengaruh dengan orang yang kita
gauli, baik sifat maupun perbuatannya. Bergaul dengan orang-orang yang
salih sekali gus bererti menjauhkan diri kita daripada ahli-ahli
maksiat, ahli-ahli bid’ah dan orang-orang yang berakhlak buruk.
6. Seorang
muslim yang berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan akhlaknya
hendaklah sentiasa berlapang dada untuk menerima nasihat dari
orang-orang yang ahli dalam agama. Ini adalah kerana hidupnya
menyingkirkan yang haram dan selalu berlaku benar. Ada masanya kita
tidak menyedari kekurangan-kekurangan dan kelemahan-kelemahan kita
sendiri. Oleh itu, hendaklah kita yakin apabila orang-orang yang salih
dan orang-orang yang benar menegur dan menasihati kita. Orang-orang lain
selalunya tidak dapat menyedari kelemahan-kelemahan dan
kekurangan-kekurangan yang ada pada dirinya sendiri. Oleh itu, hendaklah
kita sentiasa berlapang dada dan bersyukur terhadap nasihat-nasihat
yang bertujuan untuk memperbaiki diri kita sendiri dan memperbaiki
akhlak kita.
7. Bencana
ilmu itu ialah sifat lupa. Ilmu pengetahuan haruslah kita tanam di
dalam diri kita agar jangan sampai terlupa. Lupa inilah yang menyebabkan
kita memandang remeh tentang akhlak dan berkurang cintanya kita kepada
akhlak yang baik di dalam hati kita, sedangkan hati merupakan sumber
perbuatan.
8. Jiwa
kita hendaklah dibersihkan dengan amal perbuatan serta dengan
membiasakan berbuat perbuatan-perbuatan yang baik, yang dapat membawa
kepada kebersihan jiwa. Umpamanya, orang yang sakit yang telah
diberitahu oleh doktor ubat yang harus dimakan, namun tidak cukup
hanya sekadar dengan mengetahuinya sahaja tanpa memakan ubat itu, maka
tentunya dia tidak akan sembuh. Cara yang lebih baik dan praktis
untuk membersihkan jiwa dan meningkatkan akhlak kita ialah dengan
mengerjakan berbagai macam ibadah, baik ibadah yang fardu maupun yang
sunnat. Ibadah dapat menggerakkan kita manusia untuk menerima akhlak
yang baik dan mencegah dari akhlak yang buruk, yang menyingkirkan kita
dari kejahatan.
9. Kita
hendaklah mempelajari dan sentiasa mengingati sejarah hidup Rasulullah
s.a.w. dan juga contoh-contoh sejarah hidup para sahabat yang besar
-- Khulafaur Rasyidin dan sahabat yang sepuluh yang dijamin menjadi
penghuni syurga. Disamping itu para sahabat yang terlibat di dalam
pertempuran Badar, yang ikut dalam Bai’atur Ridwan dan semua para
sahabat dari golongan Anshar maupun dari golongan Muhajirin.
10. Lingkungan
atau masyarakat yang jelek atau jahat akan membawa kita kepada
kemaksiatan dan akhlak yang buruk sebaliknya lingkungan yang baik atau
masyarakat yang baik, golongan manusia yang beriman, dimana hidup
orang-orang yang saleh dan beriman akan membawa kita menjadi orang-orang
yang baik yang selalu taat dan bertaqwa kepada Allah.
11. Apabila
kita memupuk dan memelihara sifat-sifat yang baik di dalam diri kita,
maka kebaikanlah yang akan berkembang dan melekat di dalam jiwa kita.
Sebaliknya jika sekiranya sifat-sifat yang buruk dan jahat yang kita
biarkan berkembang di dalam jiwa kita, maka siksaan-siksaan dan azab
Allah adalah penyudahnya.
http://rajaindah.blogspot.com/2011/10/11-tips-ringkas-untuk-mengubah-dan.html
Tidak ada komentar:
Posting Komentar